fb fb fb fb fb

Penduduk Gaza berdepan risiko jangka panjang akibat sisa perang: DRC

Foto AFP

BAITULMAQDIS, 25 November- Pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, Majlis Pelarian Denmark (DRC), memberi amaran bahawa penduduk Gaza menghadapi risiko jangka panjang kepada bahaya akibat bahan letupan yang tidak meletup dan belum digunakan di Palestin.

Pegawai DRC Corinne Linnecar berkata, sisa-sisa perang yang ditinggalkan semasa pertempuran menjadi ancaman jangka panjang kepada orang awam.

"Sering menyebabkan kecederaan dan kematian selepas pertempuran berakhir," katanya.

Pertubuhan tersebut menyatakan dalam laporannya bahawa peluru, sama ada yang telah meletup atau tidak, boleh dijumpai di banyak kawasan yang berpenduduk padat di wilayah itu.

Laporan itu menyebut 70 peratus penduduk Gaza telah kembali ke kawasan yang pernah menjadi lokasi pertempuran aktif, meningkatkan risiko mereka berhadapan dengan bahan letupan.

Di wilayah yang dibelenggu krisis kemanusiaan dan kemasukan bantuan yang sangat sedikit, penduduk Gaza yang sangat memerlukan barangan asas terpaksa mencari bekalan penting di bawah runtuhan bangunan serta terdedah kepada bahaya sisa peperangan.

Tambah DRC, perkhidmatan kesihatan jangka panjang juga hampir tidak wujud.

"Hanya 19 peratus mangsa bahan letupan menerima bantuan kecemasan dan sokongan perubatan jangka panjang hampir tidak wujud. Kanak-kanak berisiko tinggi kerana mereka mungkin keliru antara peluru dan mainan", menurut laporan itu.

"Israel menggunakan senjata secara sembarangan di kawasan awam berulang kali dengan cara yang melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa," kata Linnecar kepada AFP.

Sebelum peperangan ini, sisa bahan letupan menjadi masalah di Gaza akibat pengeboman berulang oleh Israel selama bertahun-tahun.

"Sisa-sisa perang akan terus meragut nyawa, selepas pertempuran berakhir," kata DRC.

Sehingga kini, serangan berterusan Israel di Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya 44,235 orang, kebanyakannya orang awam, menurut data Kementerian Kesihatan, wilayah yang dikendalikan Hamas.-AFP

ROSLINA BINTI DIN