FIUGGI , 26 November - Negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) sedang mencari pendirian bersama mengenai waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Menteri Luar Itali Antonio Tajani berkata, perkara itu dibincangkan pada permulaan sidang pertama Mesyuarat Menteri Luar G7.
Tajani menyatakan G7 perlu bersatu dalam isu berkenaan untuk menunjukkan pendirian yang kukuh.
Katanya lagi bahawa usaha sedang dilakukan untuk memasukkan perkara berkenaan di akhir mesyuarat.
ICC telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu, bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant dan pemimpin Hamas, Ibrahim Al-Masri, atas dakwaan melakukan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan dalam konflik Gaza.
Israel mengecam keputusan itu sebagai memalukan dan tidak berasas. Manakala, Amerika Syarikat menolak keputusan ICC tersebut.
Persidangan dua hari di bandar kecil Fiuggi, kira-kira 80 kilometer di luar Rom itu merupakan mesyuarat terakhir Menteri-menteri Luar G7 tahun ini.
Konflik di Asia Barat dan Ukraine dijangka menjadi antara topik utama, selain implikasi pemilihan semula Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat terhadap orde antarabangsa.- REUTERS