ANKARA, 6 Oktober – Ribuan penduduk Ankara turun ke jalanan pada Ahad bagi membantah tindakan Israel memintas misi bantuan kemanusiaan flotila ke Gaza serta menyuarakan sokongan terhadap Palestin.
Para penunjuk perasaan membawa bendera Turkiye dan Palestin sambil melaungkan slogan “Tentera Turkiye ke Gaza”.
Seramai 137 aktivis yang ditahan Israel kerana menyertai flotila itu telah tiba di Turkiye pada Sabtu selepas dihantar pulang.
Dua daripada mereka mendakwa aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg dilayan buruk ketika dalam tahanan.
Israel menerima kecaman antarabangsa selepas tenteranya memintas kira-kira 40 bot flotila yang membawa bantuan ke Gaza dan menahan lebih 450 aktivis. -REUTERS