fb fb fb fb fb

Pendakwa raya tuntut "Diddy" dipenjara 11 tahun

Sean "Diddy" Combs / REUTERS

NEW YORK, 30 September - Pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lebih 11 tahun terhadap mogul hip hop, Sean "Diddy" Combs, selepas disabitkan kesalahan berkaitan pelacuran.

Dalam dokumen mahkamah, pihak pendakwa memohon hukuman sekurang-kurangnya 135 bulan penjara serta denda AS$500,000. Hakim Daerah, Arun Subramanian dijadual menjatuhkan hukuman Jumaat ini di Manhattan.

Combs, 55 tahun, berdepan maksimum 20 tahun penjara selepas juri pada 2 Julai lalu mendapati beliau bersalah atas dua pertuduhan membawa masuk pekerja seks lelaki merentasi negeri untuk terlibat dalam persembahan seksual berasaskan dadah bersama teman wanitanya.

Walau bagaimanapun, Combs dibebaskan daripada tuduhan lebih berat iaitu pemerdagangan seks dan jenayah terancang yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup. Dia mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan dijangka memfailkan rayuan.

Peguam bela sebelum ini merayu supaya hukuman diringankan kepada 14 bulan, dengan alasan juri telah menolak dakwaan bahawa Combs memaksa bekas teman wanitanya untuk terlibat dalam hubungan seks.

Jika hukuman ringan itu diterima, Combs berkemungkinan dibebaskan hujung tahun ini kerana tempoh tahanan di Pusat Tahanan Metropolitan Brooklyn sejak penahanannya pada 16 September 2024 akan diambil kira.

Sepanjang perbicaraan, pendakwa mendakwa Combs memaksa dua bekas teman wanitanya menyertai aktiviti yang dinamakan "Freak Offs". Kedua-dua wanita itu memberi keterangan bahawa mereka dipukul dan diugut jika enggan.

Bagaimanapun, peguam bela menegaskan insiden keganasan rumah tangga tidak mempunyai kaitan langsung dengan penglibatan mereka, hujah yang membantu membebaskan Combs daripada pertuduhan pemerdagangan seks dan jenayah terancang.-REUTERS 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE