NEW YORK, 30 September - Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Isnin mendedahkan bahawa rejim Israel mengepung kira-kira setengah juta penduduk Palestin di Bandar Gaza dalam kawasan tidak lebih daripada lapan kilometer persegi.
Jurucakap UNRWA, Adnan Abu Hasna berkata kepungan itu menyebabkan kira-kira 70,000 orang berhimpit di setiap kilometer persegi tanpa ruang walaupun untuk mendirikan sebuah khemah, menyebabkan puluhan ribu keluarga hidup gelandangan.
Beliau menegaskan kebuluran kini telah merebak bersama-sama penduduk yang dipindahkan dari Bandar Gaza ke bahagian tengah dan selatan Semenanjung Gaza, sambil menekankan keperluan mendesak bagi gencatan senjata segera serta membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan.
Pada 22 Ogos, Inisiatif Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong agensi-agensi khusus PBB dalam laporan rasmi mengesahkan kebuluran telah berlaku di Gaza selepas kadar kelaparan dan kekurangan zat makanan akut melepasi piawaian antarabangsa Fasa 5, berikutan pencerobohan Israel yang berterusan dan sekatan ke atas wilayah berkenaan.
Laporan itu turut memberi amaran bahawa krisis akan bertambah buruk dengan kebuluran dijangka merebak ke Deir al-Balah dan Khan Yunis menjelang akhir September.
PBB memberi amaran bahawa penduduk Gaza kini berdepan satu daripada bencana kemanusiaan paling dahsyat dalam zaman moden, sementara sekatan terhadap kemasukan makanan dan ubat-ubatan terus menghalang penduduk daripada memenuhi keperluan paling mendesak.- BERNAMA-QNA