ARUNACHAL PRADESH, 30 September - Ribuan penduduk kaum Adi di timur laut India bangkit membantah cadangan pembinaan empangan mega di Sungai Siang, projek yang dianggap ancaman kepada kehidupan, identiti dan budaya mereka.
Cadangan tersebut timbul ketika China giat membangunkan Empangan Yaxia di Tibet dengan kos dianggarkan AS$167 bilion, yang mampu menjana tenaga tiga kali ganda lebih besar berbanding Empangan Three Gorges. India pula melihat projek empangan balas sebagai langkah keselamatan negara bagi mengimbangi pengaruh Beijing.
Namun bagi penduduk di kampung Riew, empangan setinggi 280 meter itu membawa maksud lenyapnya perkampungan mereka yang subur dengan hasil tani. "Jika sungai ini dibendung, kami juga akan hilang," tegas Tapir Jamoh, bekas ketua kampung yang memimpin bantahan.
Kerajaan negeri Arunachal Pradesh menyifatkan empangan baharu sebagai langkah pertahanan terhadap kemungkinan China menggunakan projek Yaxia sebagai 'senjata air'. India bimbang China boleh mengawal aliran air hingga mencetuskan kemarau atau banjir besar.
Menurut jurutera Korporat Hidro Kuasa Nasional (NHPC), empangan India itu bukan semata-mata untuk menjana elektrik, sebaliknya bagi menjamin keselamatan air dan mitigasi banjir. Ia dijangka menghasilkan lebih 11,000 megawatt tenaga, menjadikannya yang terbesar di India.
Bagaimanapun, penduduk Adi melihat projek itu sebagai hukuman mati. Mereka menegaskan Sungai Siang adalah nadi kehidupan dan lambang budaya, justeru apa-apa percubaan mengubahnya dianggap memusnahkan komuniti.
Sejak Mei lalu, bantahan semakin memuncak. Mesin gerudi NHPC pernah dibakar, manakala ribuan penduduk mengadakan perhimpunan untuk menyuarakan penolakan terhadap projek tersebut.
Pakar ekologi Himalaya dan pemerhati antarabangsa memberi amaran risiko pembinaan empangan mega di kawasan rawan gempa bumi. Mereka mencadangkan penyelesaian diplomasi yang lebih telus sebagai alternatif.
Sementara itu, Beijing menolak dakwaan projek Yaxia akan memberi kesan buruk, menegaskan tidak pernah berniat menggunakan sumber air sebagai "senjata".
Walaupun begitu, protes di Arunachal Pradesh jelas menunjukkan kebimbangan penduduk tempatan: jika empangan dibina, mereka percaya komuniti Adi bakal pupus dari peta dunia.-AFP