fb fb fb fb fb

Pendakwa Raya Bangladesh tuntut hukuman mati terhadap Hasina

Sheikh Hasina/REUTERS

DHAKA, 16 Oktober -Pendakwa raya Bangladesh pada Khamis menuntut bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina, yang kini melarikan diri, dijatuhi hukuman mati atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan.

Hasina, 78, telah mengingkari arahan mahkamah untuk kembali dari India bagi menghadapi perbicaraan berhubung dakawaan jenayah terhadap kemanusiaan di sebuah tribunal di Bangladesh berhubung pembunuhan penunjuk perasaan semasa pemberontakan besar-besaran terhadap pemerintahannya tahun lepas.

Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pertempuran yang berlaku antara Julai dan Ogos 2024 itu telah mengorbankan hingga 1,400 orang, menurut .

"Kami menuntut hukuman paling berat terhadap beliau," kata Ketua Pendakwa Raya, Tajul Islam, kepada media di luar mahkamah.

"Bagi satu kes bunuh, satu hukuman mati adalah hukumnya. Untuk 1,400 pembunuhan, beliau sepatutnya dihukum mati 1,400 kali tetapi memandangkan itu mustahil secara manusiawi, kami menuntut sekurang-kurangnya satu."

Pihak pendakwaan mendakwa Hasina sebagai “teras utama” di sebalik semua jenayah yang dilakukan semasa kebangkitan Julai–Ogos tersebut.

Bekas Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal, juga melarikan diri, manakala bekas Ketua Polis Negara, Chowdhury Abdullah Al-Mamun, kini dalam tahanan dan telah mengaku bersalah.

Pendakwa raya turut menuntut hukuman mati terhadap Kamal atas peranannya dalam tragedi tersebut.

Perbicaraan yang bermula pada 1 Jun lalu telah mendengar pelbagai keterangan saksi yang mengaitkan Hasina dengan tindakan mengarahkan atau gagal menghalang pembunuhan besar-besaran. - AFP

TETITIA YUSOFF