SAN FRANCISCO, 28 April- Ayman Chaudhary menjadikan hobi kegemarannya, membaca sebagai sumber rezeki menerusi aplikasi TikTok. Dia menggunakan aplikasi itu untuk menyiarkan kandungan video tentang buku yang diharamkan di sekolah terutama di beberapa bahagian Amerika Syarikat.
Kini platform itu dicadang untuk diharamkan di Amerika Syarikat. Ia sekali gus memberi kesan terhadap pencipta kandungan dan usahawan yang berniaga menerusi aplikasi berkenaan.
"Ia sangat penting untuk perniagaan kecil dan pencipta kandungan; ia adalah pekerjaan sepenuh masa saya," kata penduduk Chicago yang berusia 23 tahun itu kepada AFP.
"Ia membuatkan saya sangat bimbang kerana meluluskan larangan seperti ini dan bukannya memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting, seperti kawalan senjata api, penjagaan kesihatan dan pendidikan."
Undang-undang baharu Amerika Syarikat memberikan tempoh akhir sembilan bulan sebelum mengharamkan aplikasi TikTok yang dimiliki oleh ByteDance di negara itu.
Menurut penggubal undang-undang Amerika Syarikat, aplikasi TikTok dipercayai boleh digunakan oleh kerajaan China untuk pengintipan dan propaganda selagi ia dimiliki syarikat berkenaan.
Menurut kajian Oxford Economics yang disokong oleh platform itu, aplikasi TikTok dilihat mula menguasai dunia dan menjadi pilihan pengguna media sosial untuk melakukan perniagaan.
TikTok memacu pertumbuhan untuk lebih tujuh juta perniagaan di Amerika Syarikat selain membantu menjana berbilion dolar dan menyokong lebih daripada 224,000 pekerjaan.
"Ia menjadi sebahagian besar daripada ekonomi kita," kata Rehman mengenai TikTok.
Chaudhary menggunakan TikTok untuk berkongsi minatnya pada awal tahun 2020 ketika dunia diserang virus COVID-19 selain sekatan perjalanan.
"Saya membuat video, pendek cerita untuk viral," kata Chaudhary.
Peluang untuk menjana wang daripada penaja atau pengiklanan membolehkan dia memperoleh pendapatan berterusan menerusi aplikasi berkenaan.
Pada masa sama bilangan pengikutnya juga semakin bertambah sekali gus memberi keyakinan terhadap penaja untuk menggunakan perkhidmatannya bagi tujuan pemasaran produk atau bercerita mengenai hobinya.- AFP