fb fb fb fb fb

Filipina dijangka berdepan cuaca panas melampau hingga pertengahan Mei

Foto hiasan

MANILA, 28 April- Cuaca panas luar biasa di Filipina dijangka berlarutan sehingga pertengahan Mei, kata peramal cuaca negara itu pada Ahad. Perkara itu berikutan suhu mencecah paras tertinggi iaitu 38.8 darjah Celsius di ibu negara Manila.

Keadaan cuaca panas melampau di bahagian Asia Tenggara menyebabkan beribu-ribu sekolah menangguhkan kelas secara bersemuka selain pihak berkuasa mengeluarkan amaran kesihatan.

Di Filipina, orang ramai dilihat memenuhi pusat beli-belah dan kolam renang untuk melegakan keadaan panas.

"Ini adalah suhu paling panas pernah saya alami di sini," kata pemilik pusat penginapan di wilayah Cavite dekat Manila, Nancy Bautista, 65. Pusat penginapannya ditempah sepenuhnya ketika musim panas.

"Ramai tetamu kami adalah kawan dan keluarga. Mereka berenang di kolam untuk mengurangkan panas."

Bulan Mac, April dan Mei lazimnya adalah masa paling panas dan kering dalam setahun, tetapi keadaan tahun ini diburukkan lagi dengan fenomena El Nino.

"Semua tempat di negara ini, dijangka mengalami suhu yang lebih panas sehingga minggu kedua Mei," kata peramal cuaca negeri Glaiza Escullar kepada AFP.

"Ada kemungkinan kawasan itu akan melebihi suhu lebih panas berbanding hari ini sehingga minggu kedua Mei."

Perbandaran Camiling di wilayah Tarlac, utara Manila, mencatatkan suhu 40.3 darjah Celsius pada Sabtu. Ia merupakan suhu tertinggi yang direkodkan di negara itu.

Suhu global mencecah paras tertinggi tahun lepas, dan menurut agensi cuaca dan iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) negara di kawasan Asia merekodkan perubahan cuaca panas yang sangat pantas.

Filipina antara negara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim dunia.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI