fb fb fb fb fb

Lima maut puting beliung landa Guangzhou

Foto AFP

BEIJING, 28 April - Sekurang-kurangnya lima terkorban, manakala 33 yang lain cedera selepas puting beliung membadai bandar Guangzhou pada Sabtu, lapor media kebangsaan negara itu.

Agensi berita rasmi Xinhua berkata puting beliung berkenaan membadai ibu kota daerah Guangdong sekitar pukul tiga petang (waktu tempatan).

Keadaan cuaca yang melampau merupakan malapetaka terbaharu yang melanda Guangdong yang dikenali sebagai kawasan perindustrian selain menjadi daerah yang menempatkan populasi penduduk paling ramai iaitu kira-kira 127 juta orang.

Xinhua trut melaporkan sebanyak 141 kilang musnah, namun tiada kerosakan terhadap rumah-rumah.

Imej-imej yang dikeluarkan media kerajaan menunjukkan awan hitam yang memenuhi ruang udara pada tengahari kejadian.

Sementara itu, imej-imej yang memaparkan kereta yang musnah dan dihempap pokok memenuhi media sosial.

Awal minggu ini, hujan lebat di Guangdong menyebabkan banjir dan mengakibatkan kematian empat orang.

Menurut Xinhua, ia merupakan banjir paling buruk di beberapa bahagian daerah sejak 1950.

Kejadian puting beliung merupakan perkara yang jarang berlaku di China.

Pada 10 September 2023, 10 terbunuh selepas puting beliung melanda Suqian di daerah Jiangsu, barat China.

Pada 2021, dua puting beliung melanda Wuhan pada hari yang sama, mengorbankan 12 orang.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD