WASHINGTON, 15 Ogos- Wally Amos, pencipta jenama biskut terkemuka, Famous Amos meninggal dunia pada usia 88 tahun, lapor United Press International (UPI).
Amos meninggal dunia pada Selasa di rumahnya di Honolulu akibat komplikasi demensia, menurut dua anaknya, Shawn dan Sarah Amos memberitahu The New York Times.
Wallace Amos dilahirkan di Tallahassee pada 1936 dan dibesarkan oleh ibu saudaranya di Harlem, New York City.
Selepas berhenti sekolah menengah, beliau menyertai Tentera Udara dari 1954 hingga 1957.
Amos kemudian melengkapkan Sijil Pendidikan Am (GED) dan memulakan kerjayanya di William Morris Agency di Los Angeles.
Beliau akhirnya mengetuai jabatan rock 'n' roll agensi tersebut dan menandatangani kontrak dengan duo terkenal, Simon dan Garfunkel. -BERNAMA-UPI