fb fb fb fb fb

Majlis Pilihan Raya Venezuela sifatkan laporan PBB sebagai mengarut

Presiden Venezuela Nicolas Maduro/Foto REUTERS

CARACAS, 18 Ogos-Majlis Pilihan Raya Kebangsaan Venezuela (CNE) yang menerima keceman selepas mengumumkan kemenangan pilihan raya kepada Presiden Nicolas Maduro  menyifatkan laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang mempertikaikan kemenangan berkenaan sebagai penuh 'penipuan'.

CNE sebelum ini telah mengisytiharkan Maduro sebagai pemenang pada pilihan raya berkenaan dengan 52 peratus undian pada 28 Julai lalu tanpa memberikan perincian keputusan.

Kemenangan berkenaan telah ditolak oleh pihak pembangkang, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, dan beberapa negara Amerika Latin.

Laporan awal yang diterbitkan pada Selasa oleh panel pakar pilihan raya PBB mendapati CNE "gagal memenuhi langkah-langkah asas ketelusan dan integriti."

CNE kemudiannya memberikan kenyataan sebagai tindak balas terhadap laporan tersebut dengan berkata bahawa laporan PBB itu "penuh dengan pembohongan dan percanggahan.

CNE turut menegaskan serangan "siber pengganas" telah menghalangnya daripada mendedahkan perincian keputusan di peringkat pusat pengundian selepas apa yang disebutnya sebagai "proses pilihan raya yang sempurna dan telus."

Laman web CNE turut tergendala sejak hari pilihan raya.

Kementerian Luar Negeri Venezuela juga menolak laporan PBB itu.

Sementara itu, bekas pemimpin pembangkang, Enrique Marquez, yang pernah bertanding menentang Maduro dan pernah berkhidmat di CNE, mengatakan bahawa dia akan meminta pejabat pendakwa raya untuk melancarkan siasatan jenayah terhadap bekas rakannya dalam majlis pilihan raya itu.

Pada pilihan raya yang diadakan pada 28 Julai lepas, Pihak pembangkang mengatakan pengiraan undi di pusat pengundian menunjukkan Edmundo Gonzalez Urrutia, seorang diplomat bersara berusia 74 tahun, telah menang dengan jumlah yang besar.

Gonzalez Urrutia dan pemimpin pembangkang Maria Corina Machado, yang dilarang bertanding oleh undang-undang negara itu bersembunyi selepas Presiden Maduro menuduh mereka berusaha untuk mencetuskan "rampasan kuasa" dan mencetuskan "perang saudara."

Sejak memegang kuasa pada 2013, ekonomi Venezuela telah mengalami kemerosotan menyebabkan lebih daripada tujuh juta rakyat negara itu melarikan diri, sementara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merosot sebanyak 80 peratus dalam tempoh satu. dekad.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD