fb fb fb fb fb

Rusuhan UK, lebih 1,000 ditahan polis

Foto REUTERS

LONDON, 15 Ogos-Pihak berkuasa Britain telah menahan lebih 1,000 orang susulan rusuhan melibatkan keganasan, rompakan serta serangan perkauman yang menyasarkan orang Islam dan pendatang, kata badan kepolisan negara berkenaan pada Selasa.

Rusuhan ini bermula dengan pembunuhan tiga kanak-kanak perempuan ketika menghadiri kelas tarian di Southport, bandar di utara Liverpool, yang kemudiannya disusuli dengan tindak balas beberapa kumpulan tertentu yang melakukan serangan ganas.

Serangan bermula apabila maklumat palsu menyebarkan nama dan identiti penyerang dengan dakwaan dia seorang migran dari Syria yang tiba di UK dengan menyeberangi Selat Inggeris baru-baru ini menggunakanbot kecil, dan kononnya dia seorang Muslim.

Keganasan berlaku di bandar-bandar di seluruh England dan juga di Ireland Utara, tetapi terdapat pergolakan sejak minggu lepas selepas usaha untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dipertingkatkan.

Ramai yang telah dipenjarakan dan menerima hukuman dengan tempoh yang panjang.

Majlis Ketua Polis Negara berkata setakat ini menerusi data yang diterima seramai 1,024 telah ditangkap dan 575 didakwa di seluruh UK. Mereka yang ditahan termasuk seorang lelaki berusia 69 tahun yang dituduh melakukan vandalisme di Liverpool.

Sementara itu, seorang gadis berusia 13 tahun mengaku bersalah melakukan kekacauan ganas di Mahkamah Majistret Basingstoke, kata pendakwa raya.

Gadis berkenaan dilihat menumbuk dan menendang pintu masuk ke sebuah hotel untuk pencari suaka pada 31 Julai lepas.

"Insiden membimbangkan ini akan menyebabkan ketakutan sebenar dalam kalangan mereka yang menjadi sasaran samseng. Ini amat menyedihkan apabila mengetahui bahawa gadis muda sebegitu mengambil bahagian dalam keganasan sebegini", kata pendakwa raya Thomas Power.

Kali terakhir Britain mengalami rusuhan adalah pada 2011, selepas seorang lelaki kulit hitam maut akibat ditembak polis.

Insiden berkenaan mencetuskan rusuhan selama beberapa hari.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD