(Foto AFP)
BEIRUT, 7 April- Ketua Hamas, Ismail Haniyeh berkata rakyat Palestin tidak akan berdiam diri dalam menghadapi pencerobohan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Beliau bercakap di Beirut selepas Israel menyalahkan pejuang Palestin kerana melepaskan roket bertubi-tubi dari Lubnan ke utara Israel.
Haniyeh mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua pertubuhan Palestin di Beirut yang lain ketika Israel mengancam tindak balas tentera terhadap tembakan roket.
"Rakyat Palestin dan kumpulan penentang Palestin tidak akan berdiam diri" dalam menghadapi "pencerobohan ganas" Israel terhadap Al-Aqsa, kata Haniyeh dalam satu kenyataan selepas pertemuan itu.
Israel menuduh kumpulan Palestin menembak 34 roket dari Lubnan pada cuti Paskah Yahudi, sehari selepas pertempuran antara polis Israel dan Palestin di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis.
(Kepulan asap di Bandar Gaza ketika Israel melancarkan serangan udara
ke atas Palestin pada 6 April 2023/AFP)
Keganasan di Baitulmaqdis dikecam secara meluas oleh negara jiran dan beberapa kumpulan Palestin berikrar akan bertindak balas.
Dalam satu kenyataan, Haniyeh menggesa semua pertubuhan Palestin merapatkan saf dan memperhebatkan penentangan terhadap kependudukan Israel.
Sebelum ini, jurucakap tentera Israel Lt. Kolonel Richard Hecht berkata kumpulan Palestin bertanggungjawab ke atas serangan roket itu.
"Kami tahu pasti ia adalah serangan Palestin," katanya kepada pemberita.
"Ia mungkin Hamas, ia boleh menjadi jihad Islam, kami masih cuba untuk mengenal pasti tetapi ia bukan Hizbullah", katanya.-AFP