BANGKOK, 24 Januari- Pencemaran udara di ibu negara Thailand memaksa penutupan lebih 350 sekolah pada Jumaat.
Menurut pihak berkuasa bandar, jumlah berkenaan tertinggi dalam tempoh lima tahun.
"Pentadbiran Metropolitan Bangkok telah menutup 352 sekolah di 31 daerah akibat pencemaran udara.
"Pencemaran udara bermusim telah menjejaskan Thailand, seperti banyak negara di rantau ini, tetapi keadaan berjerebu minggu ini telah menyebabkan penutupan sekolah; paling banyak sejak tahun 2020," menurut kenyataan itu.
Pejabat Bangkok mengumumkan pengangkutan awam percuma selama seminggu sebagai usaha untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar itu.
Pada Khamis, lebih 250 sekolah di Bangkok ditutup akibat pencemaran, manakala pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk bekerja dari rumah dan mengehadkan kenderaan berat di bandar.
Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra, yang kini menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Switzerland, menyeru tindakan lebih tegas untuk menangani pencemaran, termasuk menghadkan pembinaan di ibu kota dan menjalin kerjasama dengan negara jiran.- AFP