fb fb fb fb fb

Pemuliharaan Helang Filipina berdepan kesukaran

Anak burung Helang Filipina, yang dikenali sebagai "Chick Number 30", selepas menetas di kemudahan Santuari Pembiakan Burung Kebangsaan (NBBS) di Davao City, di pulau selatan Mindanao/ AFP

MANILA, 1 Disember- Seekor anak burung Helang Filipina (Pithecophaga jefferyi) atau Burung Lang Monyet yang menetas melalui persenyawaan buatan telah mati. Perkara itu dimaklumkan Santuari Pembiakan Burung Kebangsaan (NBBS) dalam satu kenyataan.

Ia sekali gus mencerminkan pemuliharaan burung berkenaan berdepan situasi sukar berikutan ia merupakan salah satu daripada haiwan liar paling terancam di dunia.

Kehilangan habitat dan pemburuan haram menyebabkan pengurangan bilangan Helang Filipina yang juga merupakan haiwan kebangsaan negara itu.

Penetasan "Chick Number 30" bulan lepas menimbulkan harapan baharu dengan mengaitkan sains dan pemuliharaan dapat menyelamatkan spesies raptor berkenaan.

"Kehilangan ini menimbulkan kesedaran bahwa untuk melakukan pembaharuan dalam sesuatu bidang memerlukan kajian terperinci. Keadaan di tempat pemuliharaan tidak sama dengan habitat asal burung berkenaan yang lebih semula jadi, ia mudah terancam," kata Yayasan Helang Filipina dalam satu kenyataan.

Anak helang jantan berusia 17 hari itu merupakan hasil penetasan buatan namun telah mati pada Jumaat di kemudahan baharu berkenaan susulan jangkitan bakteria melalui pengeraman kulit telur, atau pendedahan kepada bakteria selepas menetas.

Walaupun kurang berat badan, anak helang itu pada mulanya menunjukkan tingkah laku dan corak pemakanan normal hingga 26 November, namun kemudian ia mula mengalami kesukaran bernafas dan bersin, kata yayasan itu.

"Dari semua anak helang yang berjaya menetas dan dibesarkan, ini adalah kali pertama pasukan pembiakan berdepan kes pengekalan kantung kuning telur. Ia biasanya dikaitkan dengan jangkitan atau punca lain," kata Bayani Vandenbroeck, yang mengendalikan nekropsi itu.

"Protokol kebersihan dan pengurusan ketat dipatuhi, jadi kami tidak menjangkakan perkara ini sama sekali, tetapi kami akan menyiasat perkara yang ditambah baik," tambahnya.

Helang Filipina terkenal dengan bulu kepala dan memiliki sayap dengan lebar dua meter. Sifat semula jadi haiwan berkenaan sukar diramal kerana ia sukar untuk mengawan, malah boleh membunuh burung spesies sama yang tidak diingini.

Yayasan pemuliharaan menganggarkan terdapat 392 pasang helang yang tinggal di habitat liar, dengan hanya 30 yang dilahirkan dalam kurungan.

Matlamat utama organisasi itu adalah untuk melepaskan spesies berkenaan kembali ke habitat liar namun ia tidak pernah berjaya dilakukan selama 37 tahun beroperasi.

Banyak helang Filipina mati akibat pemburuan haram atau terkena renjatan elektrik ketika bertenggek di talian elektrik.

Setiap pasangan helang memerlukan sekurang-kurangnya 4,000 hektar (kira-kira 10,000 ekar) hutan namun ekosistem bagi haiwan itu semakin berkurang di Filipina. Ia mempunyai keupayaan untuk memburu lemur terbang, musang kelapa sawit, tupai terbang dan monyet.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI