GENEVA, 14 Oktober – Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menjelaskan proses pemulangan mayat tebusan dan tahanan yang terkorban dalam perang Israel-Hamas dijangka mengambil masa panjang berikutan kesukaran mencari mayat di bawah runtuhan di Gaza.
Jurucakap ICRC, Christian Cardon menyifatkan usaha tersebut sebagai satu “cabaran besar”, memandangkan keadaan fizikal kawasan terjejas amat kompleks.
“Itu cabaran yang lebih besar daripada pembebasan tebusan yang masih hidup. Ia satu cabaran yang amat besar,” katanya sambil menambah proses itu mungkin memakan masa beberapa hari atau minggu, malah tidak menolak kemungkinan sebahagian mayat tidak akan ditemui.
Setakat ini, hanya empat keranda mengandungi mayat tebusan telah dipulangkan ke Israel, manakala lebih 20 lagi masih belum ditemui.
Hamas pada Isnin (13 Oktober) membebaskan tebusan Israel terakhir yang masih hidup di bawah perjanjian gencatan senjata, manakala Israel pula menghantar pulang tahanan Palestin selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengisytiharkan tamatnya perang dua tahun itu.
Cardon menegaskan usaha mencari dan memulangkan mayat perlu menjadi keutamaan utama semua pihak.
“Saya fikir jelas bahawa perkara ini mungkin mengambil masa yang lebih lama. Apa yang kami tekankan kepada semua pihak ialah usaha ini perlu menjadi keutamaan mereka,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai lokasi berkemungkinan mayat-mayat tersebut atas faktor sensitiviti operasi yang sedang dijalankan. -REUTERS