fb fb fb fb fb

Lori bantuan ke Gaza menunggu di Arish sebelum sempadan dibuka semula

Foto REUTERS

ARISH, 14 Oktober – Deretan lori bantuan dilihat menunggu di bandar Arish, Mesir pada Selasa sebelum dibenarkan memasuki Gaza melalui lintasan Rafah yang dijangka dibuka semula pada Rabu (15 Oktober).

Sempadan tersebut ditutup sementara sejak dua hari lalu susulan cuti umum di Israel serta pertukaran tebusan dan tahanan antara Israel dan Hamas.

Menurut pelan gencatan senjata diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, penghantaran bantuan ke Gaza akan ditingkatkan.

Pegawai Israel menjangka sebanyak 600 lori bantuan sehari akan mula memasuki wilayah itu, manakala sumber Palestin menjangka sekurang-kurangnya 400 lori sehari akan dibenarkan pada peringkat awal.

Gencatan senjata yang berkuat kuasa minggu lalu menamatkan perang dua tahun di Gaza, yang bermula selepas serangan pada 7 Oktober 2023 mengorbankan kira-kira 1,200 orang Israel dan menyaksikan 251 tebusan ditawan.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza pula melaporkan hampir 68,000 orang terbunuh akibat kempen ketenteraan Israel, dengan ribuan lagi dipercayai masih tertimbus.

Sejak gencatan senjata bermula, 250 mayat telah ditemui.

Sebahagian besar Gaza kini musnah, dan laporan pemantau kebuluran global menyatakan wilayah itu sedang mengalami krisis kebuluran serius. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN