NEW YORK, 14 Oktober – Beberapa negara Eropah, Arab, Kanada dan Amerika Syarikat dilapor bersedia membiayai usaha pemulihan Gaza yang dianggarkan menelan kos AS$70 bilion, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Pegawai Program Pembangunan PBB (UNDP), Jaco Cilliers berkata perang dua tahun antara Israel dan Hamas telah menghasilkan 55 juta tan runtuhan, bersamaan 13 kali ganda saiz Piramid Giza, dan proses pemulihan dijangka mengambil masa berdekad.
“Kami menerima maklum balas positif daripada rakan antarabangsa, termasuk negara Eropah dan Kanada, selain perbincangan turut dijalankan dengan Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media di New York.
Sejak gencatan senjata dilaksanakan, penduduk Palestin mula kembali ke kediaman yang musnah akibat serangan Israel yang meragut 68,000 nyawa, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Data Pusat Satelit PBB (UNOSAT) menunjukkan 83 peratus bangunan di Bandar Gaza rosak atau musnah, manakala UNDP setakat ini telah membersihkan 81,000 tan runtuhan. -REUTERS