fb fb fb fb fb

Rusia sokong fokus Trump terhadap perdamaian di Ukraine

Foto REUTERS

MOSCOW, 14 Oktober – Kremlin menyambut baik hasrat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menumpukan usaha mencari penyelesaian damai di Ukraine selepas mencapai gencatan senjata di Gaza, serta berharap beliau dapat menggesa Kiev menyertai rundingan.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata Rusia kekal terbuka kepada dialog damai dan mengalu-alukan kesediaan politik Trump untuk memajukan proses perdamaian.

“Kami mengiktiraf niat sedemikian dan berharap pengaruh Amerika Syarikat serta kemahiran diplomatik utusan Presiden Trump dapat membantu menggalakkan pihak Ukraine lebih aktif dalam rundingan,” katanya.

Menurut Peskov, Rusia mengenali utusan khas Trump, Steve Witkoff sebagai tokoh berkesan dalam usaha diplomatik Asia Barat dan berharap kepakarannya turut menyumbang ke arah penyelesaian di Ukraine.

Rusia sebelum ini menuduh Ukraine melengah-lengahkan rundingan damai, manakala Kiev menuduh Moscow menetapkan syarat yang dianggap sebagai bentuk penyerahan.

Peskov turut menjelaskan bahawa dialog antara Rusia dan Amerika Syarikat berhubung konflik Ukraine kini terhenti, selain menegaskan bahawa cadangan Trump untuk membekalkan peluru berpandu Tomahawk kepada Ukraine dianggap Moscow sebagai peningkatan ketegangan yang berbahaya. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN