fb fb fb fb fb

Gucci, Chloé dan Loewe didenda €157 juta oleh EU kerana sekatan harga

Foto REUTERS

BRUSSELS, 14 Oktober – Kesatuan Eropah (EU) mengenakan denda berjumlah €157 juta (AS$182 juta) terhadap tiga jenama mewah iaitu Gucci, Chloé dan Loewe selepas didapati bersalah kerana menetapkan harga jualan semula dalam kalangan rakan niaga peruncitan mereka.

Menurut Suruhanjaya Eropah, Gucci yang dimiliki oleh Kering dikenakan denda tertinggi sebanyak €119.7 juta, diikuti Chloé (€19.7 juta) dan Loewe (€18 juta).

EU mendapati ketiga-tiga syarikat itu menghalang peruncit daripada menetapkan harga sendiri, menghadkan kadar diskaun dan menentukan tempoh jualan tertentu, sekali gus menjejaskan persaingan bebas.

Kering memaklumkan siasatan tersebut telah diselesaikan melalui prosedur kerjasama bersama Gucci, manakala LVMH dan Richemont, pemilik Loewe dan Chloé masing-masing berikrar mematuhi undang-undang antitrust.

Suruhanjaya menegaskan amalan sedemikian menafikan kebebasan harga kepada peruncit serta melindungi saluran jualan jenama daripada persaingan.

Dalam masa sama, beberapa jenama lain seperti Armani, Dior dan Tod’s turut disiasat pihak berkuasa Itali atas dakwaan pelanggaran undang-undang buruh dan isu rantaian bekalan. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN