RAMALLAH, 27 Februari- Seorang pemuda Palestin cedera selepas ditembak oleh tentera Israel pada Khamis dalam serbuan ke atas bandar Beit Rima, utara Ramallah.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), tembakan itu mengenai kaki pemuda berkenaan, menyebabkan kecederaan.
"Pemuda tersebut ditahan buat sementara waktu oleh tentera Israel sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk menerima rawatan," lapor WAFA.
Konfrontasi tercetus susulan serbuan itu, di mana tentera Israel turut menyerbu kediaman tiga tahanan Palestin yang baharu dibebaskan, iaitu Tamer Rimawi, Waleem Rimawi, dan Omar Samir Rimawi.
Terdahulu, ketiga-tiga tahanan tersebut dihantar ke Mesir sebagai sebahagian daripada kumpulan ketujuh dalam perjanjian pertukaran tahanan di bawah perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Selain itu, tentera Israel turut mengarahkan pemilik kedai di pusat bandar untuk menutup premis mereka sepanjang operasi dijalankan.