GAZA, 28 Februari- Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 meningkat kepada 48,365 orang, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan Gaza pada Khamis.
Serangan tersebut turut menyebabkan 111,780 orang lagi mengalami kecederaan.
"Hospital-hospital di Gaza menerima 17 mayat penduduk Palestin dan 19 orang yang cedera dalam tempoh 48 jam lalu," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, delegasi Israel dan Qatar tiba di Kaherah, Mesir, pada Khamis untuk rundingan gencatan senjata di Gaza, dengan penyertaan wakil Amerika Syarikat (AS), menurut Perkhidmatan Maklumat Negara Mesir (SIS).
SIS dalam satu kenyataan menyatakan bahawa pihak berkepentingan telah memulakan perbincangan intensif mengenai "peringkat seterusnya dalam perjanjian gencatan senjata Gaza yang sedang berlangsung," serta membincangkan cara untuk memastikan pelaksanaan perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini.
Para perunding turut membincangkan langkah-langkah bagi meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan penderitaan penduduknya dan menyokong kestabilan di rantau ini.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri Israel mengumumkan bahawa delegasi rundingan Israel telah dihantar ke Kaherah bagi meneruskan rundingan gencatan senjata, tanpa memberikan butiran lanjut.
Pengumuman itu dibuat selepas pertukaran terakhir tebusan Israel dan tahanan Palestin dalam fasa pertama gencatan senjata selesai pada malam Rabu hingga Khamis.
Fasa pertama yang berlangsung selama 42 hari dalam perjanjian tiga peringkat itu dijangka tamat pada Sabtu.
Pada Khamis, Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen, memberitahu media Israel bahawa masih terdapat 59 tebusan yang ditahan di Gaza dan usaha membebaskan mereka kekal sebagai keutamaan.
Hamas pula pada Khamis menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan fasa kedua dan menegaskan bahawa satu-satunya cara untuk membebaskan baki tebusan di Gaza adalah dengan komitmen terhadap gencatan senjata.
Perjanjian gencatan senjata di Gaza yang sedang berlangsung, berkuat kuasa sejak 19 Januari, telah diusahakan oleh Qatar dan Mesir dengan sokongan AS.– REUTERS