SAN FRANCISCO, 28 Februari- Meta merancang untuk menambah aplikasi kecerdasan buatan (AI) baharu dalam rangkaian aplikasi kendiri mereka, termasuk Instagram, Facebook, dan WhatsApp, menurut laporan CNBC pada Khamis.
Aplikasi AI kendiri itu sejajar dengan visi Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, yang mahu membangunkan pembantu AI paling banyak digunakan di dunia.
"Meta merancang untuk melancarkan aplikasi AI kendiri menjelang pertengahan tahun ini.
"Meta juga bercadang untuk menguji langganan berbayar bagi platform AI mereka, strategi penjanaan pendapatan yang sebelum ini digunakan oleh OpenAI dengan ChatGPT,"menurut sumber dalaman yang dipetik dalam laporan CNBC.
Bagaimanapun, Meta enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut.
Syarikat itu baru-baru ini melaporkan peningkatan ketara dalam keuntungan dan pendapatan bagi tahun 2024, serta mengumumkan rancangan untuk memperluaskan infrastruktur AI mereka pada tahun ini.
"Saya menjangkakan tahun ini akan menjadi tahun di mana pembantu AI yang sangat pintar dan diperibadikan mencapai lebih 1 bilion pengguna.
"Saya yakin Meta AI akan menjadi peneraju dalam bidang ini," kata Zuckerberg menerusi laporan kewangan.
Meta kini bersaing dengan gergasi teknologi lain seperti Amazon, OpenAI, Google, dan Microsoft dalam membangunkan model AI.
Sejak melancarkan Chatbot AI sendiri pada 2023, syarikat itu telah secara beransur-ansur mengintegrasikan teknologi tersebut ke dalam platformnya.- AFP