fb fb fb fb fb

PBB mohon AS$2.54 bilion untuk pelan kemanusiaan DRC

Foto AFP

REPUBLIK DEMOKRATIK CONGO, 28 Februari- Kerajaan Republik Demokratik Congo (DRC) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis merayu bantuan kemanusiaan sebanyak AS$2.54 bilion tahun ini bagi membantu jutaan penduduk yang terjejas akibat konflik, wabak penyakit, dan bencana alam.

Menurut kenyataan PBB, pembiayaan itu adalah penting untuk menyalurkan bantuan menyelamatkan nyawa kepada 11 juta penduduk yang memerlukan.

Ini termasuk 7.8 juta orang yang kehilangan tempat tinggal di dalam negara.

"Kira-kira 21.2 juta penduduk di DRC terjejas oleh krisis multidimensi yang belum pernah terjadi sebelum ini.

"Krisis ini merangkumi bencana iklim akibat pemanasan global, wabak penyakit, serta konflik berpanjangan di wilayah timur yang semakin memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan ini," menurut kenyataan itu.

Kumpulan bersenjata M23, yang disokong oleh Rwanda, telah merampas beberapa kawasan di bahagian timur baru-baru ini, menyebabkan kesukaran dalam penyaluran bantuan kemanusiaan.

Sementara Penyelaras Kemanusiaan PBB di DRC, Bruno Lemarquis berkata semua tanda amaran kini berada di tahap kritikal.

Walaupun menghadapi cabaran besar, usaha kemanusiaan terus membuktikan keberkesanannya dalam menyelamatkan nyawa setiap hari.

"PBB berusaha untuk membantu golongan yang paling terdedah, di mana sahaja mereka berada," katanya kepada AFP.

Pelan tindak balas kemanusiaan PBB 2025 merangkumi bantuan kepada 1.5 juta kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan akut, penyediaan air minuman bersih kepada lima juta penduduk, serta usaha menangani wabak kolera, campak, dan Mpox.

Selain itu, pelan itu turut merangkumi bantuan pemulangan pelarian dalam negara serta persiapan menghadapi bencana iklim.

Bagaimanapun, pelaksanaan rancangan PBB mungkin terjejas susulan pemotongan hampir keseluruhan bantuan asing oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

AS sebelum ini menyumbang 70 peratus daripada pembiayaan pelan tindak balas kemanusiaan PBB tahun lalu.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM