SUDAN, 28 Februari- Sekurang-kurangnya 70 orang telah meninggal dunia akibat wabak kolera, manakala lebih 2,200 individu dijangkiti di selatan Sudan dalam tempoh seminggu, menurut Save the Children pada Khamis, memetik data daripada kementerian kesihatan.
"Lebih 2,200 orang, termasuk kanak-kanak, kini berjuang melawan wabak kolera yang mengancam nyawa di bandar Kosti," menurut organisasi itu dalam satu kenyataan.
Kementerian kesihatan mencatat lebih 2,243 kes kolera di Kosti, dengan purata sekitar 400 kes baharu setiap hari dan sekurang-kurangnya 70 kematian direkodkan antara 20 hingga 26 Februari.
Memetik data kementerian kesihatan, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan sekitar 2,700 kes kolera di White Nile antara 1 Januari dan 25 Februari, termasuk lebih 500 kes membabitkan kanak-kanak.
"Kemusnahan berterusan terhadap infrastruktur kritikal telah menyebabkan tiada seorang pun kanak-kanak yang selamat dalam peperangan ini," kata wakil UNICEF ke Sudan, Sheldon Yett.
"Jika kanak-kanak tidak mendapat akses kepada air bersih, kemudahan kebersihan dan sanitasi, serta maklumat bagi mencegah penyebaran kolera, wabak ini akan terus berlarutan," tambahnya.
Menurut kementerian kesihatan, Sudan telah melaporkan lebih 55,000 kes kolera dan lebih 1,400 kematian sejak wabak itu bermula pada Ogos tahun lalu.
Wabak tersebut tercetus di ibu negeri White Nile, Kosti, selepas serangan dron yang dilaporkan menyasarkan stesen jana kuasa Um Dabakar, 275 kilometer di selatan Khartoum, sekali gus menjejaskan akses kepada air bersih.
Peperangan di Sudan, yang meletus pada April 2023, telah menghancurkan infrastruktur awam dan kemudahan perubatan di negara itu.
Sekurang-kurangnya 80 peratus hospital tidak lagi beroperasi, manakala hospital yang masih berfungsi menghadapi kekurangan bekalan perubatan yang kritikal.- AFP