BAGHDAD, 15 Mac- Pasukan keselamatan Iraq berjaya membunuh seorang pemimpin kanan kumpulan Islamic State (IS) yang bertanggungjawab terhadap operasi luar negara.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Mohammed Shia al-Sudani pada Jumaat.
Meskipun Iraq mengisytiharkan kekalahan kumpulan militan itu di wilayahnya pada tahun 2017, saki baki pengikut IS masih aktif dan terus melancarkan serangan sporadik ke atas tentera dan polis Iraq.
Abdallah Makki Muslih al-Rufayi "dianggap sebagai salah seorang pengganas paling berbahaya di Iraq dan dunia", kata Sudani menerusi platform X.
Militan itu, yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat pada tahun 2023, merupakan gabenor IS bagi wilayah Syria dan Iraq, menurut kenyataan Perdana Menteri Iraq.
Rufayi juga bertanggungjawab mengendalikan operasi luar negara kumpulan tersebut, tambah Sudani.
Beliau tidak mendedahkan tarikh Rufayi dibunuh tetapi memuji operasi risikan Iraq yang dilaksanakan dengan kerjasama gabungan anti-jihadis yang diketuai AS di Iraq.
Pada Oktober lalu, Baghdad mengumumkan, pasukan Iraq telah membunuh sembilan komander IS, termasuk gabenor IS di Iraq, Jassim al-Mazrouei Abu Abdel Qader, menurut Komando Operasi Bersama Iraq.
IS pernah mengisytiharkan "khalifah" pada tahun 2014 selepas menawan sebahagian besar wilayah Iraq dan Syria, memulakan pemerintahan yang dicemari kekejaman.
Bagaimanapun, pasukan Iraq dengan sokongan gabungan antarabangsa berjaya menewaskan IS pada penghujung tahun 2017, manakala kumpulan itu kehilangan wilayah terakhirnya di Syria dua tahun kemudian.
Kini, IS masih mengekalkan kehadirannya di gurun luas Syria dan terus melancarkan serangan di kawasan luar bandar Iraq.
Ketika ini, kira-kira 2,500 tentera Amerika ditempatkan di Iraq, yang kini menganggap pasukan keselamatannya mampu menangani ancaman militan tersebut.
Amerika Syarikat dan Iraq mengumumkan pada akhir September bahawa misi ketenteraan gabungan antarabangsa di Iraq akan berakhir dalam tempoh setahun, manakala di wilayah autonomi Kurdistan, misi tersebut dijangka tamat pada September 2026.-AFP