fb fb fb fb fb

PBB cari jalan elak pemotongan bantuan makanan pelarian Rohingya

Pelarian Rohingnya di Cox's Bazar menyertai majlis berbuka puasa di kem berkenaan sambil memegang plakad bertulis, “PBB, Bawa Kami Pulang!” dan “Kami Rohingya, Bukan Tanpa Negara!” / REUTERS

COX'S BAZAR, 15 Mac- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi jaminan bahawa PBB akan melakukan segala yang termampu bagi mengelakkan pemotongan bantuan makanan untuk pelarian Rohingya di kem Cox's Bazar, susulan kekurangan dana yang diumumkan Program Makanan Sedunia (WFP).

Lawatan Guterres ke daerah sempadan di selatan Bangladesh itu dibuat selepas WFP memberi amaran mengenai kemungkinan pengurangan bantuan makanan kepada lebih sejuta pelarian Rohingya, yang melarikan diri dari kekejaman di Myanmar, mulai April ini.

Beliau menyifatkan pemotongan drastik dalam bantuan kemanusiaan oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah sebagai satu risiko besar, sekali gus boleh menyebabkan bekalan makanan ke kem pelarian semakin berkurangan.

“Saya akan berbincang dengan semua negara yang berpotensi membantu bagi memastikan dana mencukupi dan mengelakkan lebih ramai pelarian menderita,” katanya.

WFP memaklumkan bahawa bantuan makanan bulanan berjumlah AS$12.50 mungkin dikurangkan kepada AS$6 seorang bermula April ini kerana kekurangan dana, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan petugas kemanusiaan mengenai kebuluran yang semakin meruncing, lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan.

“Suara saya akan lantang meminta komuniti antarabangsa tampil memberikan bantuan segera kerana penduduk ini amat memerlukan sokongan untuk terus hidup bermaruah di Bangladesh,” tambah Guterres.

Sementara itu, puluhan ribu pelarian Rohingya menyertai majlis berbuka puasa di kem berkenaan sambil memegang plakad bertulis, “PBB, Bawa Kami Pulang!” dan “Kami Rohingya, Bukan Tanpa Negara!”.

Dalam satu kenyataan, WFP menegaskan pengurangan bantuan itu berpunca daripada kekurangan sumbangan secara keseluruhan dan bukan disebabkan pemotongan dana bantuan luar oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.

Namun, seorang pegawai kanan Bangladesh berkata, pemotongan dana oleh AS mungkin memainkan peranan kerana AS merupakan penyumbang terbesar kepada bantuan kemanusiaan untuk pelarian Rohingya.

“Apa yang kami terima sekarang pun tidak cukup. Jika dikurangkan lagi, kami akan kelaparan,” luah Mohammed Sabir, pelarian berusia 31 tahun dari Myanmar yang tinggal di kem sejak 2017.

Sejak 2016 dan 2017, ribuan Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, dengan kira-kira 70,000 orang lagi tiba tahun lalu berikutan kebuluran yang semakin parah di negeri asal mereka, Rakhine.

“Kami tak dibenarkan bekerja di sini. Saya buntu memikirkan bagaimana nak beri makan kepada anak-anak,” kata Sabir, bapa kepada lima orang anak. “Saya harap kami tidak dilupakan. Komuniti antarabangsa mesti tampil membantu.”

WFP memerlukan sekurang-kurangnya AS$15 juta pada April bagi mengekalkan bantuan makanan penuh untuk pelarian.

Kerajaan sementara Bangladesh berharap lawatan Guterres ini akan menarik perhatian antarabangsa dan menggerakkan bantuan bagi mengelakkan krisis kemanusiaan bertambah buruk.

“Tanpa kerja dan pendapatan, kesannya akan menjadi bencana,” ujar seorang pelarian berusia 80 tahun, Abdur Salam. “Kalau tak dapat beri kami makanan secukupnya, tolong hantar kami pulang ke tanah air. Kami mahu kembali ke Myanmar dengan hak kami.”-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE