fb fb fb fb fb

Angka korban serangan tren di Pakistan meningkat kepada 31 orang

Lelaki berdiri di sebelah keranda saudara-mara mereka yang terbunuh selepas sebuah kereta api diserang oleh militan pemisah di Bolan, semasa upacara pengebumian di Quetta, Pakistan / REUTERS

ISLAMABAD, 15 Mac- Angka korban akibat serangan militan ke atas tren di pergunungan barat daya Pakistan meningkat kepada 31 orang, melibatkan askar, kakitangan, dan orang awam, menurut kenyataan tentera pada Jumaat.

Tentera Pakistan menuduh India dan Afghanistan menyokong pemberontak yang bertanggungjawab, selepas kumpulan pemisah Baloch Liberation Army (BLA) mengaku melancarkan serangan itu.

Dalam kenyataan mereka, BLA mendakwa pejuangnya melarikan 214 tebusan dan telah membunuh kesemua mereka, namun tidak mengemukakan sebarang bukti.

Militan mengambil alih tren Jaffar Express di sebuah laluan gunung terpencil di wilayah Balochistan pada Selasa, meletupkan landasan dan menahan penumpang sebagai tebusan sepanjang hari.

Jurucakap tentera, Ahmed Sharif Chaudhry, berkata pasukan keselamatan membunuh 33 pemberontak, menyelamatkan 354 tebusan, dan berjaya menamatkan kepungan tersebut. Beliau menafikan dakwaan BLA bahawa mereka membawa tebusan lain dari lokasi kejadian.

Angka akhir menunjukkan 23 askar, tiga kakitangan kereta api, dan lima penumpang maut dalam serangan dan operasi menyelamat, meningkat daripada anggaran awal 25 korban.

Chaudhry turut mendakwa Pakistan memiliki bukti penglibatan India dan Afghanistan dalam menyokong pemberontak, selari dengan tuduhan Kementerian Luar sebelum ini, dakwaan yang dinafikan kedua-dua negara.

Sementara itu, BLA dalam kenyataannya memberi amaran bahawa perjuangan mereka "belum berakhir, malah semakin memuncak."

BLA merupakan kumpulan pemberontak etnik Baloch terbesar yang telah lama berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah Balochistan kawasan kaya mineral yang menjadi tapak utama projek yang diterajui China, termasuk pelabuhan serta lombong emas dan tembaga.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE