LIMA, 15 Mac- Bekas presiden Peru yang digulingkan, Pedro Castillo menamatkan mogok lapar selepas empat hari, menurut pihak berkuasa.
Castillo, 55, kini sedang dibicarakan atas tuduhan pemberontakan selepas cuba membubarkan Kongres bagi mengelak pemecatan atas dakwaan rasuah. Beliau telah ditahan sementara menunggu perbicaraan sejak Disember 2022.
Isnin lalu, Castillo melancarkan mogok lapar sebagai protes terhadap apa yang disifatkannya sebagai pemenjaraan yang tidak adil dan membabi buta.
Beliau sempat dimasukkan ke hospital pada Khamis selepas jatuh sakit, sebelum menamatkan protesnya sebaik kembali ke penjara, menurut mahkamah yang mendengar kesnya.
Castillo tidak hadir ke mahkamah untuk perbicaraan pada Jumaat.
Bekas guru sekolah dan pemimpin kesatuan sekerja itu, yang pernah digelar presiden miskin pertama Peru selepas kemenangannya pada 2021, digulingkan dan ditangkap hanya 17 bulan selepas memegang jawatan.
Sejak memegang jawatan pada Julai 2021, Castillo berdepan tentangan politik hebat dan menjadi sasaran beberapa siasatan rasuah dakwaan yang ditepisnya sebagai bermotifkan politik.
Beliau terselamat daripada dua undi pemecatan, namun percubaan ketiganya mendorong tindakan tergesa-gesa Castillo untuk membubarkan Kongres dan memerintah secara dekri satu langkah yang gagal.
Beliau ditangkap ketika dalam perjalanan ke Kedutaan Mexico.
Pendakwa raya kini memohon hukuman penjara 34 tahun terhadap Castillo atas tuduhan pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa.- AFP