PHNOM PENH, 5 Oktober -Tuan rumah sidang kemuncak Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN), Kemboja mengesahkan bahawa pemimpin junta Myanmar tidak dijemput ke acara itu.
Jurucakap Kementerian Luar Kemboja memaklumkan, pentadbiran junta hanya dijemput untuk mencalonkan wakil bukan politik bagi sidang kemuncak ASEAN akan datang.
"Ini bermakna ketua junta, Min Aung Hlaing, tidak akan dibenarkan menyertai sidang kemuncak itu seperti mana diplomat tertingginya yang dihalang daripada pertemuan barisan menteri luar di Phnom Penh pada Februari dan Ogos lalu," kata jurucakap itu.
Perkembangan itu dianggap suatu penghinaan buat kepimpinan Myanmar ketika ASEAN mengetuai usaha diplomatik untuk menyelesaikan kemelut yang mencengkam negara berkenaan sejak tentera merampas kuasa tahun lalu.
Sidang kemuncak itu dijangka akan membincangkan mengenai perkembangan pelaksanaan dalam Konsensus Lima Perkara dipersetujui dengan junta.
Melalui konsensus yang dipersetujui April tahun lalu, ia menggesa menghentikan keganasan di Myanmar dan dialog antara tentera serta antirampasan kuasa.
Ini susulan suara bantahan dan tentangan semakin meningkat dalam kalangan ASEAN terhadap tindakan keras pentadbiran Myanmar.
Malah, tindakan junta yang menjatuhkan hukuman mati terhadap empat banduan Julai lalu turut menerima kecaman daripada pihak antarabangsa.
Mesyuarat menteri luar ASEAN pada Ogos turut berakhir dengan kecaman terhadap tindakan junta itu.
Barisan menteri juga mengakui berasa kecewa terhadap perkembangan yang perlahan dan kekurangan komitmen pihak berkuasa Naypyidaw terhadap pelaksanaan konsensus lima perkara.-AFP