SAO PAOLO, 22 Disember- Sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh dalam nahas bas di tenggara Brazil pada Sabtu, kata pegawai.
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva berkata kemalangan itu sebagai "tragedi yang dahsyat."
Kemalangan di negeri Minas Gerais itu melibatkan bas terbakar dalam perlanggaran dan ia merupakan kemalangan paling teruk di lebuh raya persekutuan Brazil sejak 2007, kata Polis Lebuhraya Persekutuan (PRF) kepada AFP.
Polis awam mengesahkan 38 maut dengan sembilan individu lagi dimasukkan ke hospital.
Menurut maklumat awal, satu blok granit keluar dari sebuah trak yang menuju ke arah bertentangan telah melanggar bas itu, kata PRF dalam satu kenyataan.
Menurut anggota bomba, pemandu lori berkenaan melarikan diri dari tempat kejadian.
Bomba pada awalnya berkata tayar bas berkenaan meletup kira-kira pukul 4.00 pagi selepas terlanggar batu granit berkenaan menyebabkan pemandu hilang kawalan dan melanggar sebuah lori.
Sebuah lagi kenderaan turut melanggar bas dari belakang, kata pegawai, tetapi penumpangnya terselamat.
Akibat kemalangan itu, bas yang dalam perjalanan dari Sao Paulo ke Vitoria da Conquista, di negeri timur laut Bahia, terbakar.
Jurucakap jabatan bomba tempatan sebelum ini memsklumkan kepada AFP bahawa angka kematian "belum dapat dipastikan."
Beberapa mangsa terperangkap di dalam bas, dan proses untuk mengeluarkan mayat yang hangus terbakar mengambil masa.
Leftenan Alonso Vieira Junior dari Jabatan Bomba Minas Gerais berkata, kren diperlukan untuk membersihkan serpihan, dan "masih ada lagi mangsa yang perlu dikeluarkan."
Antara yang maut ialah pemandu bas dan sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak.
Lula menerusi hantaran media sosial turut mendoakan kesejahteraan kepada "mangsa yang terselamat dalam tragedi itu."
"Saya memohon maaf," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Gabenor Minas Gerais berkata beliau mahu "keluarga mangsa diberikan kaunseling."
Pada penghujung November, kemalangan bas di negeri Alagoas di timur laut Brazil menyebabkan 17 maut apabila ia terjunam ke dalam gaung ketika dalam perjalanan di jalan pergunungan terpencil.- AFP