fb fb fb fb fb

Albania umum larangan TikTok setahun

Foto hiasan/ REUTERS

TIRANA, 22 Disember- Albania mengumumkan larangan selama setahun ke atas TikTok berikutan pembunuhan seorang remaja pada November sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap pengaruh media sosial itu terhadap kanak-kanak.

Larangan yang berkuat kuasa awal tahun depan itu sebahagian daripada rancangan untuk menjadikan sekolah lebih selamat kata Perdana Menteri Albania Edi Rama selepas bertemu dengan kumpulan ibu bapa dan guru dari seluruh negara.

"Kami akan menyekat larangan TikTok selama setahun untuk semua orang. Tidak akan ada TikTok di Albania," kata Rama.

Beberapa negara Eropah termasuk Perancis, Jerman dan Belgium telah menguatkuasakan sekatan terhadap penggunaan media sosial kepada kanak-kanak.

Rama menganggap penggunaan media sosial khususnya TikTok meningkatkan keganasan dalam kalangan belia di dalam dan di luar sekolah.

Keputusan kerajaan itu dibuat selepas seorang pelajar sekolah berusia 14 tahun ditikam rakannya hingga mati.

Media tempatan melaporkan kejadian itu susulan pertengkaran antara dua budak lelaki menerusi media sosial. Video berkenaan juga popular menerusi apikasi TikTok.

"Masalah hari ini bukan anak-anak kita, masalah hari ini ialah masyarakat dan TikTok. Penggunaan media sosial menjadikan anak-anak kita lalai dan leka," kata Rama.

Bagaimanapun TikTok sedang mencari "penjelasan segera" daripada kerajaan Albania berhubung sekatan berkenaan.

"Kami tidak menemui bukti bahawa pelaku atau mangsa mempunyai akaun TikTok. Beberapa laporan mengesahkan video yang membawa kepada kejadian itu disiarkan di platform lain, bukan TikTok," kata seorang jurucakap TikTok.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI