SANAA, 10 Oktober -Pemimpin Kumpulan Houthi, Abdulmalik al-Houthi, pada Khamis menyatakan bahawa mereka masih belum menghentikan operasi ketenteraan terhadap Israel.
Sebaliknya akan terus memantau rapat pelaksanaan perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel di Gaza.
"Kami akan terus berjaga-jaga dan memantau dengan teliti fasa pelaksanaan perjanjian ini. Persoalannya, adakah perjanjian ini benar-benar akan menamatkan pencerobohan ke atas Gaza?" katanya.
"Kita mesti berada pada tahap berwaspada dan kesiapsiagaan yang paling tinggi, dan teruskan momentum kita yang luar biasa," tambahnya.
Sejak bermulanya perang Gaza pada 2023, kumpulan Houthi telah mula melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke arah Israel, selain turut menyasarkan kapal-kapal yang mereka anggap mempunyai kaitan dengan negara tersebut.
Kumpulan Houthi mendakwa tindakan mereka adalah sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Sebagai tindak balas, Israel telah melancarkan beberapa siri serangan udara ke atas wilayah Yaman, yang tertumpu kepada infrastruktur penting seperti pelabuhan, stesen janakuasa dan lapangan terbang antarabangsa di ibu negara, Sanaa.
Pada Ogos, Israel telah membunuh Ahmed Ghaleb Nasser al-Rahawi, bersama hampir separuh anggota kabinetnya dalam serangan yang disasarkan di kawasan sekitar Sanaa.
Awal minggu ini, Kementerian Kesihatan Houthi melaporkan bahawa seramai 319 orang telah terbunuh manakala 1,357 lagi cedera sejak pertukaran serangan antara kedua-dua pihak bermula.
Keadaan dijangka terus tegang, dengan tiada tanda-tanda penyelesaian dalam masa terdekat. - AFP