NEW YORK, 10 Oktober -Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) merancang untuk meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dalam tempoh 60 hari pertama selepas gencatan senjata berkuat kuasa.
Perkara itu dinyatakan seorang pegawai kanan PBB pada Khamis hanya beberapa jam selepas perjanjian dicapai antara Israel dan Hamas.
Perjanjian gencatan senjata itu dijangka mula berkuat kuasa 24 jam selepas mesyuarat Israel pada Khamis.
Ia bakal membenarkan ratusan lori yang membawa makanan dan bantuan perubatan memasuki Gaza, selain membuka ruang untuk pembebasan tebusan dan pengunduran separa tentera Israel.
"Kami akan berusaha untuk meningkatkan jumlah bekalan kepada ratusan lori setiap hari. Kami akan memperluaskan edaran makanan ke seluruh Gaza bagi mencapai 2.1 juta penduduk yang memerlukan bantuan makanan, serta sekitar 500,000 orang yang memerlukan pemakanan khusus,” kata Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher dalam satu taklimat media.
"Kelaparan mesti dibendung di kawasan yang sudah terjejas, dan dicegah daripada merebak ke kawasan lain," tambahnya.
Laporan oleh IPC (Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu) pada Ogos lalu mendedahkan bahawa Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya kini berada dalam situasi kebuluran yang berisiko merebak dan menjejaskan lebih setengah juta rakyat Palestin.
Israel sebelum ini menyekat sepenuhnya kemasukan makanan ke Gaza selama hampir tiga bulan.
Menurut Fletcher, PBB turut merancang untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada 200,000 keluarga bagi menampung keperluan makanan asas, memulihkan sistem kesihatan yang musnah, dan meningkatkan bekalan perubatan.
"Kami juga akan melaksanakan usaha besar-besaran dalam penyediaan tempat perlindungan, termasuk membantu keluarga membuat persediaan menghadapi musim sejuk. Ribuan khemah akan dibawa masuk dan diagihkan setiap minggu, selain terpal dan barangan keperluan lain," jelasnya, dengan penekanan kepada keluarga paling terjejas. - AFP