WASHINGTON, 17 Ogos – Pemimpin Eropah termasuk dari Jerman, Perancis dan Britain akan mengiringi Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy bagi menghadiri pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Washington, dalam usaha memperkukuh kedudukannya ketika Trump mendesak Ukraine menerima perjanjian damai segera.
Sehari sebelum rundingan tersebut, Canselor Jerman Friedrich Merz, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Britain Keir Starmer menganjurkan mesyuarat sekutu pada Ahad bagi mengukuhkan sokongan terhadap Zelenskiy.
Mesyuarat itu turut menumpukan kepada usaha mendapatkan jaminan keselamatan kukuh untuk Ukraine, termasuk penglibatan Amerika Syarikat.
Trump sebelum ini bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin di Alaska pada Jumaat, dan kini menekan Zelenskiy supaya mencapai persetujuan dengan Moscow.
Sekutu Eropah dilihat berusaha mengelakkan pengulangan pengalaman pahit Zelenskiy dalam mesyuarat terakhir di Oval Office pada Februari lalu, yang berakhir dengan kegagalan apabila Trump bersama Naib Presiden JD Vance secara terbuka menegur keras pemimpin Ukraine itu dengan menuduhnya tidak tahu berterima kasih serta bersikap tidak menghormati.