fb fb fb fb fb

Insiden tembakan di Brooklyn ragut tiga nyawa, lapan cedera

Foto Reuters

NEW YORK, 17 Ogos – Tiga maut manakala lapan lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah kelab malam di Brooklyn awal pagi Ahad, kata Pesuruhjaya Polis New York City, Jessica Tisch.

Menurut beliau, polis menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 3.27 pagi berhubung kejadian di Taste of the City Lounge di 903 Franklin Avenue, kawasan kejiranan Crown Heights.

“Pegawai polis tiba dalam beberapa minit selepas panggilan pertama diterima dan menemui ramai mangsa tembakan di lokasi. Setakat ini kami mengenal pasti 11 mangsa berusia antara 27 hingga 61 tahun, melibatkan lapan lelaki dan tiga wanita,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Tiga lelaki berusia 27, 35, serta seorang lagi yang belum dikenal pasti umurnya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Lapan mangsa lain dibawa ke hospital berdekatan dengan kecederaan yang dilaporkan tidak mengancam nyawa. Nama mereka belum didedahkan sementara menunggu makluman kepada keluarga.

Siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada pertikaian di dalam kelab tersebut dan melibatkan ramai penembak.

Polis menemui sekurang-kurangnya 36 kelongsong peluru daripada pelbagai senjata api selain sepucuk pistol berhampiran Bedford Avenue dan Eastern Parkway.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kini sedang diperiksa dan operasi memburu suspek masih dijalankan. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN