fb fb fb fb fb

Pemberontak Tigris setuju henti "permusuhan sementara"

(Program Makanan Sedunia (WFP) di wilayah Tigris/Fail AFP)

ADDIS ABABA, 25 Mac- Pemberontak Tigris hari ini bersetuju untuk melaksanakan "gencatan kemanusiaan", kemajuan terbaharu selepas hampir 17 bulan perang di utara Ethiopia.

Langkah itu diputuskan selepas pengumuman kerajaan untuk perdamaian sementara yang masih kurang jelas sehari sebelum itu.  

Menerusi kenyataan dihantar kepada AFP pada pagi Jumaat, pemberontak menyatakan, “memberi komitmen untuk menghentikan permusuhan berkuat kuasa serta-merta.”

Mereka juga menggesa pihak berkuasa Ethiopia agar menyegerakan penghantaran bantuan kecemasan ke Tigris, ketika ini menyaksikan ratusan ribu penduduk berdepan kebuluran.

Sejak konflik pemerintahan tercetus pada November 2020, ribuan penduduk terbunuh dan ribuan lagi terpaksa melarikan diri ketika konflik merebak ke kawasan kejiranan Amhara dan Afar.

Semalam, Perdana Menteri Abiy Ahmed mengisytiharkan perdamaian sementara dan menyatakan harapan bahawa langkah itu akan memudahkan akses kemanusian ke Tigris seterusnya “membuka jalan penyelesaian konflik” di utara Ethiopia.

Beliau juga mahu Barisan Pembasan Rakyat Tigris (TPLF) “menghentikan ke semua tindakan pencerobohan seterusnya berundur dari kawasan yang mereka duduki di wilayah kejiranan itu."


(FOTO AFP)

Konflik tercetus apabila Abiy Ahmad menghantar tentera ke Tigris untuk menggulingkan TPLF bekas parti pemerintah di wilayah itu sebagai tindak balas kepada serangan pemberontak terhadap kem tentera.

Pergaduhan berlanjutan sehingga lebih setahun mencetuskan krisis kemanusiaan termasuk laporan kes rogol dan pembunuhan beramai-ramai dengan kedua-dua saling menuduh melakukan pencabulan hak asasi kemanusiaan.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 400,000 orang penduduk menjadi pelarian akibat konflik itu.

Amerika Syarikat pula mendakwa kerajaan Abiy menyekat penghantaran bantuan kepada penduduk memerlukan, sementara pihak berkuasa pula menyalahkan halangan itu daripada tindakan pemberontak.

Hampir 40% daripada keseluruhan kira-kira enam juta penduduk Tigris berdepan “kekurangan bekalan makanan serius” kata PBB pada Januari lalu manakala kekurangan bekalan bahan api menyebabkan pekerja bantuan terpaksa berjalan kaki untuk menghantar bekalan makanan. -AFP

Media Baharu