SEOUL, 17 Mac- Parti Pembangkang Korea Selatan menggesa Mahkamah Perlembagaan negara itu supaya membuat keputusan segera mengenai pemecatan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol yang digantung.
Yoon didakwa oleh penggubal undang-undang berhubung pengisytiharan undang-undang tentera yang membawa bencana pada 3 Disember dan mahkamah bulan lalu mengadakan perbicaraan pemecatan berminggu-minggu untuk memutuskan sama ada akan melucutkan jawatan secara rasmi.
Walaupun pakar meramalkan keputusan pada pertengahan Mac, Mahkamah Perlembagaan masih belum membuat keputusan -- menjadikan kes Yoon sebagai perbicaraan paling lama dalam sejarah.
Kira-kira 100,000 orang turun ke jalanan di Seoul pada hujung minggu, kata polis. Protes berkenaan menuntut Yoon disingkirkan serta-merta daripada jawatan.
"Kesabaran rakyatnya telah mencapai had, ketegangan dan kesabaran. Kami menunggu keputusan bertanggungjawab daripada Mahkamah Perlembagaan. Sebarang kelewatan adalah tidak normal dan tidak bertanggungjawab," kata Ahli Parlimen pembangkang Kim Min-seok.
Polis memaklumkan kesiapsiagaan anggota untuk mengelakkan pergolakan apabila mahkamah mengumumkan keputusan pendakwaan.
Penyokong Yoon telah menyerbu mahkamah Seoul dengan memecahkan pintu dan tingkap mahkamah daerah itu selepas hakim melanjutkan penahanan Yoon.
Susulan kejadian itu pihak berkuasa memberi amaran tentang keganasan yang dijangka berlaku susulan keputusan akan datang.
"Kami sedang membincangkan penutupan sementara kedai dan stesen minyak berhampiran pada hari penghakiman," kata pegawai polis.
Pemangku ketua Agensi Polis Metropolitan Seoul Park Hyun-soo memaklumkan bahawa polis akan "memastikan kawasan dalam 100 meter dari Mahkamah Perlembagaan sebagai zon bebas protes."
Menurut Park polis sedang menjalani latihan tambahan melibatkan penggunaan semburan lada dan belantan, sambil menambah bahawa agensi itu juga sedang mempertimbangkan untuk mengerahkan pasukan khas polis "bertindak balas terhadap ancaman bom".
Selain keputusan pendakwaan, Yoon juga menghadapi perbicaraan jenayah atas tuduhan pemberontakan kerana mengisytiharkan undang-undang tentera pada bulan Disember.
Tuduhan berkenaan menjadikan Yoon sebagai Presiden Korea Selatan pertama yang dibicarakan dalam kes jenayah.
Yoon ditahan dalam operasi pada Januari atas alasan pemberontakan namun dibebaskan pada Mac atas alasan prosedur.- AFP