fb fb fb fb fb

Mesir kemuka cadangan penempatan pasukan pengaman antarabangsa di Gaza, Tebing Barat

Foto AFP

ISTANBUL, 18 Mac- Mesir mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mempertimbangkan penempatan pasukan pengaman antarabangsa di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang diduduki, menurut Anadolu Ajansi (AA).

Cadangan itu dikemukakan semasa mesyuarat yang diadakan di Kaherah antara Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty, duta asing serta wakil antarabangsa bagi membincangkan pemulihan sektor penjagaan kesihatan Gaza.

"Terdapat cadangan untuk Majlis Keselamatan mengkaji penempatan pasukan pengaman antarabangsa di Gaza dan Tebing Barat," kata Abdelatty dalam kenyataan yang dipetik oleh Kementerian Luar.

"Ini akan dilaksanakan melalui penerimaan resolusi Majlis Keselamatan bagi mengerahkan pasukan pengaman atau perlindungan antarabangsa dengan mandat dan kuasa yang jelas, mengikut jadual yang menjamin penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka," tambahnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan peringkat semasa cadangan itu.

Sidang kemuncak tergempar Arab mengenai Gaza yang diadakan di Mesir pada 4 Mac turut menyeru penempatan pasukan pengaman di Gaza dan Tebing Barat sebagai sebahagian daripada usaha politik untuk menubuhkan sebuah negara Palestin.

Menurut Kementerian Luar Mesir, rancangan Arab bagi membina semula Gaza tanpa menyebabkan pemindahan penduduk Palestin di wilayah itu telah mendapat sokongan serantau dan antarabangsa yang ketara.

Abdelatty turut menggariskan keperluan utama bagi kejayaan rancangan itu, termasuk menstabilkan gencatan senjata di Gaza, menguruskan pemulihan awal dan usaha pembinaan semula dengan memastikan ia berada di bawah kawalan rakyat Palestin, serta menganggap Gaza sebagai sebahagian daripada wilayah Palestin.

Beliau turut menekankan keperluan untuk membolehkan Pihak Berkuasa Palestin kembali ke Gaza dan melaksanakan tanggungjawabnya.

Selain itu, Abdelatty memaklumkan bahawa Mesir dan Jordan telah mula melatih pegawai polis Palestin sebagai persediaan untuk penempatan mereka di Gaza.

Lebih 48,500 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 112,000 yang lain cedera dalam serangan kejam Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023. Serangan yang menyebabkan wilayah itu hancur dihentikan sementara susulan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang berkuat kuasa pada 19 Jan.- BERNAMA-Anadolu

 

ROSLINA BINTI DIN