fb fb fb fb fb

Tujuh orang terbunuh dalam serangan di sempadan Syria-Lubnan

Foto hiasan

BEIRUT, 18 Mac- Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan 52 cedera dalam pertempuran di sempadan Syria-Lubnan.

Pertempuran pada lewat malam Ahad lepas itu tercetus apabila pihak berkuasa di Damsyik menuduh kumpulan Hizbullah menculik tiga askar ke Lubnan dan membunuh mereka.

Sumber keselamatan Lubnan memberitahu AFP bahawa tentera Syria melepaskan tembakan ke Lubnan selepas tiga anggota keselamatan itu terbunuh di kampung Qasr Lubnan oleh lelaki bersenjata tempatan yang terlibat dalam penyeludupan.

Agensi Berita Nasional (NNA) kendalian Lubnan melaporkan pertempuran sempadan itu berlarutan pada Isnin berikutan serangan baharu Syria.

Unit Kecemasan Kementerian Kesihatan berkata bahawa pertempuran selama dua hari di sempadan Lubnan-Syria menyebabkan kematian tujuh rakyatnya dan kecederaan 52 yang lain.

Susulan itu, Presiden Lubnan Joseph Aoun menegaskan, tentera negaranya akan bertindak balas terhadap serangan tersebut.

"Apa yang berlaku di sempadan timur dan timur laut tidak boleh diteruskan. Saya telah mengarahkan tentera Lubnan untuk bertindak balas terhadap serangan", kata Aoun menerusi catatan di X. 

Tentera mengumumkan bahawa unit itu telah bertindak balas terhadap sumber tembakan dengan senjata yang sesuai selepas serangan terbaharu dari wilayah Syria, lapor NNA.

Tambahnya, pasukan itu sedang berusaha untuk mengukuhkan kedudukan pertahanan bagi menghentikan serangan ke atas wilayah Lubnan.

Sementara itu, "Menteri Pertahanan Lubnan Michel Mnassa dan rakan sejawatannya dari Syria Marhaf Abu Qasra bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata" kata Kementerian Pertahanan Lubnan.- AFP

ROSLINA BINTI DIN