PATHUM THANI, 2 Oktober- Pemandu bas sekolah di Thailand yang terbakar hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 20 murid dan tiga guru terkorban telah ditahan selepas didakwa melarikan diri ketika penumpang terperangkap dalam kebakaran itu.
Saman Chankut, 48, yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) melanggar penghadang konkrit di Jalan Vibhavadi Rangsit dekat sini di pinggir Bangkok pada 12.30 tengah hari semalam, ditahan di rumah isterinya di Ang Thong untuk siasatan lanjut.
Rakaman CCTV menunjukkan Saman cuba menggunakan alat pemadam api sebelum melarikan diri apabila api semakin marak, menyebabkan 23 nyawa terkorban, termasuk murid berusia antara tujuh hingga 15 tahun.
Ketua Polis Pathum Thani, Mejar Jeneral Yutthana Jonkhun berkata Saman akan berdepan beberapa tuduhan termasuk memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian, gagal memberi bantuan, tidak melaporkan kemalangan kepada pihak berkuasa, serta menyebabkan kecederaan fizikal dan mental kepada penumpang lain.
"Siasatan awal mendapati bas yang berusia 54 tahun itu mengalami tayar depan pecah sebelum terbakar menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan melanggar penghadang konkrit," kata Yutthana.
Bas tersebut yang dikendalikan oleh Chinnaboot Tour membawa murid dan guru dari Sekolah Wat Khao Phraya Sangkharam di Uthai Thani untuk lawatan pendidikan ke sebuah loji janakuasa.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. "Sebagai seorang ibu, saya ingin mengucapkan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa," katanya.
Thailand mencatatkan salah satu kadar kematian jalan raya tertinggi di dunia dengan 32.7 kematian bagi setiap 100,000 orang. Negara itu kini berusaha mengurangkan kadar kematian jalan raya kepada 12 kematian bagi setiap 100,000 orang menjelang tahun 2027. -Reuters
FOTO REUTERS
BERITA BERKAITAN