fb fb fb fb fb

Peluru berpandu Rusia bedil kemudahan stesen jana kuasa Ukraine

Para penduduk di Ukraine yang terpaksa berlindung di stesen api bawah tanah susulan serangan Rusia di Kyiv pada Jumaat / Foto Reuters

KYIV, 27 April - Rusia melancarkan beberapa siri serangan peluru berpandu terhadap Ukraine dengan menyasarkan kemudahan tenaga selain memusnahkan stesen jana kuasa di beberapa wilayah negara tersebut, kata pegawai Ukraine pada Sabtu.

Moscow telah meningkatkan serangannya terhadap rangkaian kemudahan jana kuasa Ukraine dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Tindakan tersebut menyebabkan seluruh Ukraine terputus bekalan elektrik. Keadaan tersebut menyebabkan kerajaan negara itu terpaksa meminta agar penduduk mencatu bekalan tenaga.

"Tentera Rusia melancarkan satu lagi serangan peluru berpandu secara besar-besaran ke atas Ukraine," kata pihak tentera dalam satu hantaran di media sosial.

"Musuh (Rusia) sekali lagi menyerang infrastruktur tenaga negara, terutamanya kemudahan di wilayah Dnipropetrovsk, Ivano-Frankivsk, dan Lviv.

"Terdapat kerosakan pada peralatan," kata Menteri Tenaga German Galushchenko dalam catatan di Facebook miliknya.

Pengendali stesen jana kuasa DTEK berkata terdapat peralatan di empat loji jana kuasa yang rosak teruk dalam serangan pada Jumaat.

Tentera udara Ukraine berkata Moscow melepaskan 34 peluru berpandu, yang menyaksikan 21 daripadanya ditembak jatuh.

Dua orang cedera di pusat bandar Kryvyi Rih, kata Oleksandr Vilkul, Presiden Majlis pertahanan bandar itu di Telegram.

Sementara itu, Ketua wilayah barat Lviv menggesa para penduduk agar tidak menggunakan peralatan intensif tenaga seperti cerek, seterika, mesin basuh dan ketuhar gelombang mikro di antara pukul 7:00 malam dan pukul 10:00 malam untuk mengekalkan bekalan tenaga yang terhad.

"Adalah sukar bagi sistem tenaga untuk mengekalkan keseimbangan pengeluaran dan penggunaan," kata Maksym Kozytski dalam catatan di Telegram.-AFP

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD