GENEVA, 12 Julai – Pelepasan gas rumah hijau hasil aktiviti manusia, terutama karbon dioksida, menjadi punca utama peningkatan suhu di Eropah Barat, menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO).
Pegawai medianya, Clare Nullis, berkata fenomena itu membuktikan bahawa terdapat keperluan membangunkan sistem amaran awal bagi menghadapi cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku.
Kenyataan beliau dibuat susulan laporan Copernicus Climate Change Service (C3S) yang mendapati dunia baru sahaja mengalami bulan Jun ketiga paling panas dalam sejarah, manakala Eropah Barat mencatatkan suhu tertinggi pernah direkodkan untuk bulan tersebut.
Dalam wawancara bersama China Media Group (CMG) di Geneva, Nullis menegaskan bahawa gelombang haba luar biasa melanda rantau itu pada pertengahan dan akhir Jun, yang dianggap terlalu awal dan terlalu panas berbanding biasa.
Antara penyumbang utama ialah suhu permukaan laut yang sangat tinggi di Laut Mediterranean, yang kini mengalami "gelombang haba marin" dengan purata suhu mencecah 27°C jauh lebih tinggi daripada biasa.
Keadaan itu memberi kesan langsung kepada suhu daratan di sekitarnya.
Nullis turut menambah bahawa kesan perubahan iklim bukan sekadar suhu tinggi.
Udara yang lebih panas menyimpan lebih banyak wap air, sekali gus menjadikan hujan lebat lebih ekstrem.
Sementara itu, lautan yang lebih panas mempercepatkan kadar penyejatan dan menggalakkan pembentukan ribut yang lebih kuat.
Sehubungan itu, WMO menyeru negara-negara untuk meningkatkan kesiapsiagaan melalui pelaksanaan sistem amaran awal.
Inisiatif “Amaran Awal untuk Semua” (EW4All) kini menjadi keutamaan organisasi tersebut.
Dalam hal berkenaan, China dipuji sebagai antara negara yang berjaya melaksanakan sistem amaran awal yang berkesan dan terbukti menyelamatkan nyawa. -REUTERS.