SANTO DOMINGO, 12 Julai - Empat pendatang disahkan maut manakala kira-kira 20 lagi dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki terbalik di perairan Republik Dominika, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.
Bot tersebut membawa kira-kira 40 orang dan sedang menuju ke Puerto Rico.
Seramai 17 mangsa berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa pertahanan awam Republik Dominika.
Tentera laut negara itu memaklumkan bahawa mereka menyelamatkan 10 warga Dominika dan tujuh warga Haiti, termasuk seorang kanak-kanak.
Bot jenis "yola" yang digunakan dalam perjalanan itu biasanya diperbuat daripada kayu atau gentian kaca dan tidak mematuhi peraturan keselamatan.
Pendatang haram dikatakan membayar sehingga AS$7,000 (sekitar RM33,000) bagi perjalanan sehala ke Puerto Rico dari Republik Dominika, yang berkongsi pulau Hispaniola dengan Haiti yang kini bergolak.
Kehadiran pendatang haram dari Republik Dominika ke Puerto Rico semakin meningkat sejak sedekad lalu. - AFP