WASHINGTON, 12 Julai – Sekumpulan saintis berjaya mengekstrak dan menganalisis protein daripada fosil gigi haiwan purba seperti badak sumbu, gajah dan kuda nil yang hidup antara 1.5 hingga 24 juta tahun lalu.
Penemuan itu membuka dimensi baharu dalam kajian evolusi haiwan prasejarah, termasuk kemungkinan spesies manusia dan dinosaur.
Protein yang diekstrak daripada gigi haiwan di Kenya dan Artik Kanada itu membuktikan bahawa molekul penting dalam tubuh makhluk hidup mampu kekal jauh lebih lama berbanding DNA, yang sebelum ini hanya mampu dikesan sehingga usia dua juta tahun.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature itu diketuai oleh ahli biologi evolusi dari Universiti Harvard, Daniel Green, dan saintis dari Universiti Copenhagen, Ryan Sinclair Paterson.
Mereka menemui protein dalam fosil haiwan yang hidup di kawasan panas Lembah Turkana, Kenya serta kawasan sejuk Kawah Haughton di Nunavut, Kanada.
Protein yang berjaya dikesan itu berasal daripada enamel gigi, iaitu bahagian paling keras dalam tubuh haiwan.
Enamel terdiri daripada mineral yang terbentuk hasil bantuan protein-protein tertentu yang kekal terperangkap di dalamnya selama jutaan tahun.
"Protein ini bukan sahaja boleh beritahu kita hubungan evolusi antara spesies, tetapi juga jantina dan sifat biologi lain," kata Green.
Penemuan itu menolak sempadan sedia ada dalam bidang paleoproteomik, iaitu kajian protein purba, sekali gus membuka kemungkinan untuk menjejak semula garis keturunan spesies manusia atau makhluk prasejarah dinosaur.
"Kami tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti teknologi akan membolehkan kita mengesan protein dari zaman Mesozoik," kata Green.
Saintis berharap pendekatan baharu ini dapat digunakan dalam kajian lanjutan ke atas fosil manusia purba, terutamanya di kawasan kaya tinggalan prasejarah seperti Lembangan Turkana, yang pernah menjadi tapak penemuan penting dalam sejarah evolusi manusia. - REUTERS