WASHINGTON, 12 Julai - Amerika Syarikat mengumumkan sekatan pertama terhadap Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel atas peranannya melakukan kekejaman terhadap rakyatnya, menurut kenyataan Jabatan Negara itu pada Jumaat.
Sekatan itu diumumkan bersempena dengan ulang tahun keempat protes besar-besaran antikerajaan yang melanda Cuba pada Julai 2021.
Pada protes tersebut, ribuan rakyat turun ke jalanan membantah kekurangan barang keperluan dan kemerosotan ekonomi.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dalam satu hantaran di X berkata, visa untuk Diaz-Canel serta beberapa pegawai tinggi kerajaan Cuba telah disekat.
Pegawai lain yang disenarai hitam termasuk Menteri Pertahanan Alvaro Lopez Miera dan Menteri Dalam Negeri Lazaro Alberto Alvarez Casas.
AS turut mengambil langkah untuk mengenakan sekatan terhadap pegawai kehakiman dan penjara yang terlibat dalam penahanan dan penyeksaan penunjuk perasaan 2021.
Washington mendakwa seramai 700 individu masih dipenjara kerana menyertai tunjuk perasaan tersebut, manakala kumpulan hak asasi manusia menganggarkan angka antara 360 hingga 420 orang.
Beberapa tahanan telah dibebaskan selepas menamatkan hukuman, namun pemimpin pembangkang Jose Daniel Ferrer, yang dibebaskan awal tahun ini melalui perjanjian dimediasi Vatikan, ditahan semula pada April apabila parolnya dibatalkan.
Rubio turut menuntut “bukti bahawa Ferrer masih hidup” dan mendesak pembebasan segera semua tahanan politik.
"Ketika rakyat Cuba berdepan kekurangan makanan, air, ubat dan elektrik, rejim pula membelanjakan wang untuk kepentingan dalamannya," kata Rubio.
Sementara itu, Kementerian Luar Cuba mengecam sekatan baharu itu dan menyifatkan Amerika tidak mampu "menafikan kehendak rakyat atau pemimpinnya".
Pada Mei lalu, kerajaan Cuba turut memanggil duta AS ke Havana bagi membantah campur tangan Washington dalam hal ehwal dalaman negara itu.
Dalam perkembangan berkaitan, hotel mewah baharu 42 tingkat di Havana, Torre K, turut dimasukkan dalam senarai entiti larangan pelaburan rakyat AS.
Hotel itu, yang baru dirasmikan ketika industri pelancongan negara semakin merosot, dikritik kerana melibatkan pelaburan besar kerajaan ketika rakyat terus menderita.
Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan perdagangan terhadap Cuba selama lebih enam dekad dan kembali menyenaraikan negara itu sebagai penaja keganasan selepas Donald Trump kembali berkuasa. - AFP