NEW DELHI, 12 Julai – Kedua-dua enjin pesawat Air India yang terhempas baru-baru ini dilaporkan terhenti di udara hanya beberapa saat selepas berlepas, menurut laporan awal siasatan yang dikeluarkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Pesawat India (ABI) pada Sabtu.
Media tempatan melaporkan bahawa laporan itu mendedahkan suis kawalan aliran bahan api bagi kedua-dua enjin pesawat penerbangan AI-171 telah beralih dari posisi "RUN" kepada "CUT OFF" dalam tempoh selang satu saat, menyebabkan kegagalan fungsi enjin secara serentak.
Perakam suara kokpit turut merekodkan perbualan antara dua juruterbang, apabila salah seorang bertanya, "Mengapa kamu hentikan?" dan dijawab, "Saya tidak."
Laporan itu juga menyatakan bahawa kedua-dua suis tersebut kemudian dikembalikan ke posisi "RUN", dan walaupun enjin 1 menunjukkan tanda-tanda pemulihan, enjin 2 gagal berfungsi semula.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang menunjukkan bahawa Ram Air Turbine (RAT) telah dikerahkan selepas pesawat berlepas dan tiada gangguan luar seperti aktiviti burung dikesan berhampiran laluan penerbangan.
Penggunaan RAT menunjukkan bahawa pesawat mengalami kehilangan kuasa dan daya tujahan sepenuhnya.
Laporan tersebut turut mengesahkan bahawa tetapan flap dan kedudukan gear pendaratan berada dalam keadaan normal ketika kejadian berlaku.
Menurut ABI, butiran tersebut akan menjadi antara aspek utama yang akan diberi tumpuan dalam siasatan susulan.
Pesawat Air India berkenaan, iaitu Boeing 787-8 Dreamliner yang dalam perjalanan ke London terhempas pada 12 Jun lalu sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, kira-kira 17 kilometer di selatan Gandhinagar, ibu negeri Gujarat. .
Nahas itu mengorbankan semua kecuali seorang daripada 242 penumpang dan anak kapal serta 19 individu di kawasan darat. -REUTERS