RAMALLAH, 24 Mac-Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pada Isnin mengecam situasi genting dihadapi oleh rakyat Palestin yang dipindahkan akibat operasi ketenteraan Israel di Tebing Barat.
Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sekitar 40,000 penduduk telah dipindahkan sejak 21 Januari lepas.
Keadaan bertambah buruk ketika tentera Israel melancarkan operasi yang menyasarkan kumpulan pejuang Palestin di utara wilayah tersebut.
Operasi Israel itu bermula dua hari selepas perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza antara tentera Israel dan Hamas
Keadaan pelarian Palestin yang dipindahkan adalah "sangat genting", kata MSF yang sedang beroperasi di kawasan tersebut.
Penduduk Palestin "kehilangan tempat perlindungan yang sesuai, perkhidmatan asas, dan akses kepada penjagaan kesihatan," kata NGO itu.
"Situasi kesihatan mental juga sangat membimbangkan", tambah NGO tersebut.
MSF menyatakan bahawa skala pemindahan paksa dan kemusnahan kem pelarian di Tebing Barat disifatkan situasi mengerikan dan belum pernah dilihat dalam beberapa dekad.
"Penduduk tidak dapat kembali ke rumah mereka kerana tentera Israel telah menghalang akses ke kem-kem pelarian, memusnahkan rumah dan infrastruktur," kata Pengarah Operasi MSF, Brice de la Vingne.
"Israel mesti menghentikan tindakan ini, dan respons kemanusiaan perlu dipertingkatkan."
Operasi Israel yang dinamakan "Iron Wall" (Tembok Besi) itu menyasarkan tiga kem pelarian utama iaitu Jenin, Tulkarem, dan Nur Shams.
Sementara itu dalam kenyataan kepada AFP, tentera Israel (IDF) berkata ia menjalankan operasi "terhadap semua organisasi pengganas, termasuk Hamas, dalam realiti keselamatan yang kompleks".
"IDF mematuhi undang-undang antarabangsa dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan kemudaratan kepada individu yang tidak terlibat," menurut kenyataan itu.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, pada Februari menyatakan bahawa operasi itu akan berlangsung selama beberapa bulan.
"Saya telah mengarahkan (tentera) untuk bersiap sedia bagi tempoh penempatan yang berpanjangan di kem-kem yang telah dikosongkan untuk tahun akan datang, dan tidak membenarkan penduduknya kembali atau kebangkitan semula keganasan," katanya dalam satu kenyataan.
Tebing Barat, yang diduduki oleh Israel sejak 1967, menempatkan kira-kira tiga juta rakyat Palestin serta hampir 500,000 pendatang Israel yang tinggal di penempatan yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa.-AFP.