GENEVA, 24 Mac-Kes jangkitan tuberkulosis (TB) dalam kalangan kanak-kanak di Eropah meningkat sebanyak 10% pada tahun 2023.
Peningkatan kes itu menunjukkan masih berlaku penularan penyakit berkenaan dan wujudnya keperluan mendesak untuk tindakan kesihatan awam bagi mengawal penyebarannya, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin.
Rantau Eropah WHO, yang merangkumi 53 negara di Eropah dan Asia Tengah, melaporkan lebih daripada 7,500 kes TB dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun pada tahun 2023.
Angka itu meningkat lebih 650 kes berbanding tahun 2022.
"Peningkatan yang membimbangkan dalam kes TB dalam kalangan kanak-kanak mengingatkan kita bahawa kemajuan dalam memerangi penyakit yang boleh dicegah dan dirawat ini masih rapuh," kata Hans Henri Kluge, Pengarah Serantau WHO bagi Eropah.
Sementara itu, Penasihat Serantau TB bagi WHO Eropah, Askar Yedilbayev berkata peningkatan jumlah kes secara keseluruhan mungkin menunjukkan bahawa diagnosis penyakit berkenaan semakin baik.
Namun, ia juga boleh berpunca daripada peningkatan pergerakan rentas sempadan akibat perang Rusia-Ukraine, dua negara yang mempunyai kadar beban penyakit TB tertinggi di rantau itu.
Menurut laporan bersama WHO dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC), kanak-kanak di bawah umur 15 tahun menyumbang 4.3% daripada keseluruhan kes TB di Kesatuan Eropah.
Ini menandakan peningkatan kes dalam kumpulan umur itu untuk tahun ketiga berturut-turut, yang menurut Yedilbayev adalah "senario yang membimbangkan".
WHO sebelum ini telah memberi amaran bahawa pemotongan dana daripada penderma global akan menjejaskan kemajuan dalam mengawal jangkitan TB di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Pengurangan dana berkenaan boleh menjejaskan program TB di negara bukan EU, sekali gus meningkatkan penularan strain TB yang sukar dirawat, kata agensi itu.
TB, yang merupakan antara 10 penyebab utama kematian di dunia, adalah jangkitan bakteria yang berpotensi membawa maut. Ia menyerang paru-paru dan merebak melalui batuk atau bersin.-REUTERS.